Kegemilangan
tamadun islam dalam tempoh tidak kurang dari empat abad menjadi sejarah
yang cukup manis dikenang oleh orang islam bahawa, suatu masa dahulu
umat ini sememangnya sangat terkehadapan dalam sains dan tradisi
keilmuan. Saintis muslim membintangi dunia keintelektualan dengan
tamadun Baghdad sebagai puncak kegemilangannya, khususnya semasa era
pemerintahan khalifah Harun al-Rashid dan puteranya al-Makmum.
Kepimpinan
sains dan teknologi di dunia islam kemudiannya diambil alih oleh barat
akibat kecuaian umat islam itu sendiri dalam mempertahankannya selain
usaha barat yang mencemburui era keemasan itu sebelum ianya hancur
dirempuh oleh tentera Mongol di abad ke 13. Tradisi keilmuan dunia islam
seterusnya mengalami gerhana panjang sehingga ke hari ini akibat
ketandusan pemikiran dan ilmu-ilmu pengetahuan moden yang selari dengan
ajaran islam dalam menghadapi ancaman sains dan teknologi barat yang
jelas membelakangkan sifat keinsanan yang ada dalam setiap manusia itu
sendiri.
Sains
dan teknologi Islam telah membangkitkan era Kegemilangan Eropah dari
zaman kegelapan dan meraba-raba akibat tekanan dari pihak gereja. Di
zaman gelap itu juga menyaksikan golongan saintis dan cerdik pandai
mereka dipenjarakan dan juga dibunuh akibat salah faham golongan gereja
dengan anggapan bahawa sains adalah satu aliran sihir yang berunsur
syaitan. Namun begitu, kebangkitan Eropah menyaksikan keruntuhan
ketamadunan Islam yang begitu cemerlang baik dalam kegiatan saintifik
dan penyelidikan mahupun tradisi keilmuan di kalangan umat pada waktu
itu. Hal ini kerana wujud konflik antara ahli-ahli agama dan golongan
cerdik pandai sains Muslim, sama seperti penentangan golongan gereja
kristian terhadap golongan cerdik pandai mereka. Lebih malang lagi
apabila wujudnya suatu pemikiran yang menolak pengkajian saintifik dari
barat dan harus ditentang. Pegangan sebegini masih lagi berlegar dalam
segelintir masyarakat Islam sehingga kini.

Kegagalan
melihat sains dan teknologi sebagai pemangkin dalam meningkatkan
kesejahteraan dan martabat umat, memberikan kesan yang sangat negatif
dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam seperti yang dibanggakan
pada suatu masa dahulu. Isu-isu yang selalu dibangkitkan ialah bagaimana
negara-negara Islam yang mempunyai penduduk majoriti di planet bumi ini
dapat mempelopori penemuan dan ciptaan baru dalam sains dan teknologi
selepas beberapa abad menjadi pengguna dan pengekor kemajuan teknologi
barat yang belum tentu dapat dimanfaatkan dalam kesibukan dunia
globalisasi kini.
Ledakan
sains dan teknologi dari barat juga telah mempercepatkan proses
globalisasi. Di abad ke-20 sehingga kini dampak dari sains teknologi
terus berkembang pesat meninggalkan kesan yang begitu mendalam dalam
kehidupan manusia. Dekad 80- an menyaksikan perkembangan ”sains kuantum’
yang membuka era baru dengan munculnya teknologi perkomputeran,
teknologi maklumat, kawalan jarak jauh, teknologi angkasa, teknologi
imej, teknologi elektronik dan fotonik dan terkini nanoteknologi. Di
sebalik kemajuan sains teknologi dan rekacipta terkini, ada sesuatu di
sebalik sains barat ini yang merencatkan nilai agama dan budaya sesuatu
bangsa. Masyarakat sains di barat sudah pun melupakan peranan tuhan
dalam hidup mereka. Lihat sahaja lah produk-produk teknologi mereka yang
digunakan dalam ketenteraan dan penjajahan ke atas negara-negara
membangun yang tidak menurut telunjuk mereka dan bagaimana teknologi yang dicipta oleh
barat digunakan secara meluas dalam dunia ketenteraan sehingga
menganiaya negara lemah. Begitu juga teknologi pengklonan yang disalah
guna oleh saintis yang tidak memikirkan soal nilai dan peradaban.
Teknologi maklumat juga memberi dampak dalam dunia globalisasi.
Kemunculan internet dan maklumat dihujung jari menyebarkan lagi
berita-berita berat sebelah yang terus didominasi oleh barat.
Sosiobudaya masyarakat terus berubah dengan munculnya era globalisasi
yang tidak terkawal di era sains dan teknologi. Budaya fast food, fast music dan fast information”
menjadi amalan di seluruh dunia yang lahir dari budaya Amerika. Itulah
cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan yang masih mempercayai
akan adanya nilai dalam sains dan teknologi tidak seperti yang
diagungkan oleh barat.
www.majalahsains.com
Ulasan: Kegemilangan tamadun Islam dapat dilihat semasa pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid dan puteranya al-Makmun. Kepimpinan sains dan teknologi di dunia Islam itu kemudiannya diambil alih oleh barat akibat kecuaian umat Islam sendiri dalam mempertahankannya dan barat mencemburui era kegemilangan Islam sebelum diserang oleh Monggol pada abad ke 13 M. Era kegemilangan Islam hancur setelah barat bangkit dari zaman kegelapan akibat tekanan dari pihak gereja. Namun begitu, kebangkitan barat dapat dilihat apabila menyaksikan keruntuhan ketamadunan Islam yang begitu cemerlang baik dalam kegiatan saintifik dan penyelidikan mahupun tradisi keilmuan di kalangan umat pada waktu itu. Ini disebabkan wujudnya konflik antara ahli-ahli agama dan golongan cerdik pandai sains Muslim, sama seperti penentangan golongan gereja kristian terhadap golongan cerdik pandai mereka.Kegagalan ini memberikan kesan negatif dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam seperti dahulu yang mana sains teknologi dipelopori oleh para saintis Islam. Justeru itu, proses globalisasi akibat kemajuan sains teknologi barat memberikan kesan yang mendalam dan terus berkembang pesat sehingga kini. Perkembangan sains teknologi mereka dapat dilihat dengan munculnya teknologi kawalan jauh, teknologi komputer, elektronik dan sebagainya. Di sebalik kemajuan barat ini merencatkan nilai agama dan budaya yang mana mereka meminggirkan peranan agama dalam hidup mereka iaitu melakukan penjajahan ke atas negara-negara yang membangun dengan cara yang salah.
0 Response to "SAINS DAN TEKNOLOGI DALAM PEMBINAAN TAMADUN: PERANAN DAN CABARAN"
Post a Comment